" Awak, macam mana ye? Saya ta reti la na menegur orang. Kadang tu dia buat salah, tapi saya ta sampai hati la na tegur " Luah seorang sahabat.
"Kenapa, awak takut yeh nak tegur dia?" Saya pula menyoal.
"Bukan, tapi.. Entah ! Saya rasa susahnya nak bagitahu kesalahan yang dia lakukan. Nanti, apa pula katanya bila saya tegur dia. Mesti dia terasa hati "
" Eh, boleh pulak macam tu ya? Oky, sebelum saya bagi pandangan, saya na tanya. apa tujuan awak nak tegur dia? "
"Hmm, mesti la nak suruh dia sedar akan kesilapan dia, dan nak dia terus dalam kebaikan "
"Hah, so apa tunggu lagi? Apa yang awak takutkan?"
Dia menjungkit bahunya.
"Awak, matlamat awak jelas! Awak na dia sedar akan kesilapan dan na dia terus dalam kebaikan. Jadi tegurlah!
***
Bukan mudah untuk menegur orang. Boleh jadi, orang yang kita tegur akan marah semula pada kita, dan boleh jadi dia akan terasa hati selepas kita menegurnya lalu menjauhkan diri dari kita. Itu kesannya jika kita mengambil langkah untuk menegurnya.
Bagaimana pula jika kita terus mendiamkan diri? Apa pula yang bakal terjadi? Boleh jadi dia akan selamanya dalam keburukan, dan boleh jadi dia akan lupa dan tidak sedar bahawa apa yang dia lakukan itu bukanlah suatu kesalahan dan dosa.
Antara dua tindakan, mana satu yang lebih baik?
Mungkin, di antara kita akan terus berkira-kira lagi .
'Nanti, dia akan marah, tak pun dia akan terasa hati. yelah, manusia mana yang suka ditegur?'
Jawapannya, manusia mana yang maksum? manusia mana yang tidak lakukan kesilapan? Semua orang punyai kebarangkalian untuk buat silap. Jadi penawar terbaik adalah teguran. Siapa lagi yang layak menegur, jika bukan kita yang melihat .
Teguran bukti kasih sayang.
' Saya sayang dia, sebab itu saya takut na tegur, nanti dia akan menjauhi dirinya dari saya '
Tapi, relakah kita melihat dia selamanya dalam kemungkaran? Jika kita terus diamkan diri, adakah itu buktinya kita sayangkan dia?
Kasih sayang kerana Allah, adalah kasih yang tidak berpenghujung. Bukan sekadar di dunia, tapi untuk kesinambungan di akhirat sana. Kadangkala, melihat dirinya, membuatkan diri kita berdoa di dalam hati supaya kita akan terus bersamanya di syurga nanti. Namun, bagaimana kita ingin pastikan dia dan kita menuju jalan yang di redhai, jika kesalahan yang dia lakukan walhal di depan mata kita sendiri, kita tak mampu menegurnya?
Tegurlah kerana Allah, dan kerana matlamat akhirat.
Soal dia terasa hati, atau marah kembali kepada kita yang menegur, letaklah pada soal yang kedua. Yang pertama, bertindaklah menjernihkan sesuatu yang salah dengan memberi kefahaman yang betul kepadanya. Soal kefahaman, adalah hak Allah. Tugas kita yang melihat, adalah menyampaikan kebenaran dan memperbetulkan kesilapan yang dilakukan oleh sahabat yang kita sayangi. Mungkin boleh jadi, dengan usaha kita hanya kerana Allah itu mampu membuka hatinya lantas berubah ke arah kebaikan.
Sedangkan, Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah, ketika mengalihkan 'pandangan' baginda daripada Abdullah Bin Ummi Makhtum yang dikisahkan dalam surah Abasa.
Walhal, Baginda SAW yang bersifat maksum juga, ditegur oleh Allah akibat kekhilafan yang ditunjukkan untuk ummat Baginda seolah-olah berkata bahawa pembaikan pada sesuatu jalan keburukan itu perlu dilakukan dengan teguran yang bermatlamat.
' Macam mana nak tegur dia?'
Berhikmahlah. Aturkan bahasa sehikmah mungkin. Nyatakan kesalahan apa yang dia lakukan, dan nyatakan juga apa seharus dia lakukan. Jelaskan pembaikan, dan berjanjilah dengannya supaya pembaikan itu dilakukan bersama-sama. Tegurlah dari hati, pasti akan sampai juga pada hatinya. Di akhirnya, jelaskanlah tanpa malu...bahawa tindakan menegurnya adalah tanda sayangnya kita pada dirinya usaha untuk kita terus bersamanya di dalam kebaikan. Sama ada, reaksinya faham atau tidak, dapat terima dengan negatif atau positif, pulangkan pada Allah yang Maha Memegang hati-hati hamba-Nya.
Kerana itu, tindakan akhirnya...doa.
Berdoalah semoga dia mampu berubah..dan semoga kita mampu menjadi orang tengah di antara dia dengan jalan kebaikan.
Jadi, tegurlah.... Jika kita sayangkan dia..dan berniat untuk bersamanya di syurga kelak.
****
# Coretan ni saya ambik dpd blog inilah fitrahku . Saya tertarik dgn isinya :')
Terima kasih. Saya akan ambil sebagai iktibar .
Wallahualam .


No comments:
Post a Comment