Rasulullah SAW mulai gering. Baginda bertanya kepada isteri-isterinya "Giliranku esok dimana?" "Dimana aku esok?" Isteri-isteri yang penuh dengan kasih sayang memberikan pilihan kepada suami yang tercinta untuk memilih di mana saja dia ingin berada. Rasulullah SAW memilih rumah si pipi merah, Aishah binti Abu Bakar. Rasulullah menghabiskan sisa-sisa hujung kehidupannya di rumah Aishah.
Di rumahnya, Aishah membacakan surah al-Falaq dan an-Nas serta doa-doa yang dihafalnya, lalu meniupkan ke seluruh tubuh baginda SAW sambil mengharapkan keberkatan. Demikianlah kasihnya Aishah kepada Rasulullah SAW seorang isteri kepada kekasih Allah.
Sayangnya Nabi SAW kepada umatnya. Di akhir kehidupannya, lima hari sebelum nyawanya diambil, nabi SAW meninggalkan pesanan yang mungkin dilupakan oleh ramai umatnya di zaman kini. Pesanan baginda berbunyi:
"Allah melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka menjadikan kubur nabi-nabi mereka sebagai masjid". Baginda meneruskan nasihatnya: "Jangan kalian jadikan kuburku sebagai berhala yang disembah".
Baginda SAW juga tetap mengimami solat berjemaah sehinggalah solat maghrib pada hari keempat sebelum ajalnya tiba. Menjelang Isya', sakit baginda SAW semakin parah. Tetapi sakitnya itu tidak menghalang Rasulullah SAW daripada mengambil berat tentang solat jemaah umatnya. Baginda SAW berkata:
"Adakah semua orang telah mendirikan solat?"
Jawab para sahabat: "Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu."
Baginda berkata: "Sediakan bekas air untukku" Lalu para sahabat melakukannya, nabi SAW cuba untuk menyegarkan dirinya dengan air tersebut. Baginda cuba bagun tetapi tidak mampu. Sakit masih mencengkamnya. Baginda SAW jatuh pengsan.
Nabi SAW terjaga lalu bertanya: "Adakah semua orang telah mendirikan solat?" Para sahabat menjawab: "Belum wahai Rasulullah, mereka sedang menunggumu." Baginda SAW menyegarkan lagi dirinya dengan air, tetapi masih tidak terdaya. Baginda bertanya lagi berulang kali: "Adakah semua orang telah mendirikan solat?" Namun sahabat yang ada masih memberikan jawapan yang sama. Berulang kali soalan itu ditanya oleh baginda namun baginda terlalu gering, tidak mampu untuk mengimamkan solat, walau sudah berulang kali baginda berusaha untuk menyegarkan badannya. Akhirnya, nabi SAW menyuruh Abu Bakar mengimamkan solat menggantikan baginda. Abu Bakar memikul amanah itu semenjak hari itu, dia telah mengimamkan sebanyak tujuh belas kali solat fardhu.
Senyuman Subuh Terakhir -
Umat Islam sedang mendirikan solat Subuh bersama Abu Bakar. Tiba-tiba Rasulullah SAW menyingkap tabir di bilik Aishah lalu memandang ke arah mereka yang sedang melakukan solat. Baginda tersenyum dan tertawa.
Tangis dan Tawa Fatimah -
Pagi itu, nabi SAW membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah. Fatimah menangis mendengarnya. Kemudia baginda memanggil puterinya sekali lagi, lalu berbisik. Kali ini Fatimah ketawa keriangan. Aishah dan isteri yang lain kehairanan lalu bertanya kepada Fatimah, dia menjawab:
"Rasulullah saw membisikkan kepadaku bahawa baginda akan wafat dengan sakit yang dihadapinya, lantas aku pun menangis. Kemudian baginda membisikkan pula kepadaku bahawa akulah ali keluarganya yang pertama akan menyusul selepasnya, aku pun ketawa".
Fatimah puteri Rasulullah SAW berasa kasihan kepada ayahnya yang kesakitan, lalu dia berkata kepada ayahnya: "Alangkah deritanya ayah.." Nabi SAW menjawab: "Selepas ini tidak akan ada lagi penderitaan atas ayahmu."
Baginda juga meninggalkan wasiat terakhir buat umatnya: "Jagalah solat.. Jagalah solat.. dan hamba-hamba yang dimiliki.."
Di atas pangkuan Aishah -
Nabi SAW berada dalam pelukan isteri tercinta, Aishah. Saudara lelaki Aishah, Abdul Rahman bin Abu Bakar muncul sambil membawa sebatang kayu sugi. Rasulullah memandang ke arah Abdul Rahman. Si isteri tercinta memahami isi hati suaminya lantas Aishah bertanya: "Mahukah aku ambilkan kayu sugi untukmu?" Baginda menganggukkan kepala setuju.
Aishah mengambil kayu sugi itu lalu melembutkannya dengan menggigit-gigit hujungnya. Lalu Aishah menggosokkan gigi Rasulullah dengan kayu sugi tersebut. Nabi SAW wafat atas pangkuan Aishah, dengan bersatunya air liur Aishah dan Rasulullah SAW.
Akhirnya -
Baginda merasa sakit dan mencelup tangannya ke dalam air, kemudian menyapu mukanya sambil berkata: "Tidak ada Tuhan selain Allah. Sesungguhnya pada kematian itu ada kesakitan."
Selesai sahaja bersugi, baginda mengangkat tangan ke langit lalu menyebut:
"Bersama orang-orang yang Engkau berikan nikmat kepada mereka, daripada kalangan nabi-nabi, siddiqin, syuhada' serta solihin. Ya Allah, ampunilah diriku, rahmatilah diriku. Temukanlah aku dengan teman (para nabi) yang tertinggi, Ya Allah teman (para nabi) yang tertinggi".
Kemuncak Kesedihan Para Sahabat -
Anas bin Malik berkata: "Tidak pernah aku melihat hari yang lebih indah dan berseri-seri melainkan hari Rasulullah SAW memasuki Kota Madinah, dan tidak pernah aku melihat hari yang lebih buruk dan gelap melainkan pada hari kewafatan Nabi Muhammad SAW."
Berita kematian nabi SAW tersebar luas, tangisan tidak tertahan lagi. Airmata sahabat bercucuran. Fatimah, puteri Rasulullah berkata: "Duhai ayahanda kesayanganku, yang telah menyahut panggilan Tuhannya, duhai ayahanda kesayanganku, syurga Firdaus tempat kembalinya, duhai ayahanda kesayanganku, kepada Jibril kami sampaikan berita kewafatannya".
Umar menjadi hilang pertimbangan, kecintaannya kepada nabi SAW membuatkan dia seakan hilang sedar apa yang dia perkatakan. Umar berteriak dengan suara yang lantang:
"Ada orang-orang munafik yang mendakwa Rasulullah SAW telah wafat. Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak mati, tetapi baginda Rasulullah pergi bertemu Tuhannya sebagaimana nabi Musa dan Imran yang menghilangkan diri daripada kaumnya selama empat puluh hari. Kemudian dia kembali semula kepada kaumnya setelah orang berkata dia telah mati. Demi Allah Rasulullah akan kembali dan memotong tangan dan kaki orang yang mengatakan dia telah mati."
Abu Bakar bergegas pulang tatkala mendengar berita kematian Rasulullah SAW. Dibukanya kain yang menutupi baginda, kemudian Abu Bakar menundukkan kepalanya kepada baginda dan menciumnya. Lalu menangislah Abu Bakar As-Siddiq.
Abu Bakar menenangkan umat -
Umar masih lagi mengungkapkan kata-katanya tadi. Abu Bakar berkata kepada Umar, "Duduklah wahai Umar, Sesiapa di kalangan kamu yang menyembah Muhammad SAW, sesungguhnya Muhammad SAW telah mati. Sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Hidup dan tidak akan mati."
Beliau terus membaca Surah Ali Imran, ayat 144:
"Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati dan terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah) sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu)."
Para sahabat terpaku. Mereka tersedar dari lamunan mereka. mereka mulai sedar hakikat nabi SAW telah meninggalkan mereka. Kata-kata Abu Bakar menyentap jiwa mereka yan sedang kesedihan, mengembalikan mereka kepada kewarasan.
Umar yang tadinay terlalu sedih hingga mengeluarkan kata-kata yang menggoncang akidah umat Islam, tersedar daripada kesilapannya. Ayat itu menyentap jiwanya kembali hatinya yang sedang berkecamuk.
"Demi Allah, sebaik sahaja aku mendengar Abu Bakar membacakan ayat itu, aku menjadi lemah longlai sehingga tidak berdaya untuk berdiri. Akhirnya aku rebah ke bumi apabila mendengar Abu Bakar membacakannya. Maka yakinlah aku, nabi SAW telah wafat."
Akhirnya pada hari Isnin, 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijrah, perginya Rasulullah SAW meninggalkan umatnya. Mana mungkin umatnya tidak menangis ketika baginda pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya, sedangkan ketika hidupnya baginda telah menempuh pelbagai ranjau dugaan, dan segala keperitan ujian, ancaman serta seksaan hanya demi menunaikan tanggungjawab amanah kerasulan iaitu menegakkan agama yang benar di sisi Alla.
Bagaimana nabi SAW yang sebelumnya dipercayai oleh semua penduduk Mekah sehingga digelar Al-Amin, akhirnya ditolak dan dicerca tatkala berdiri di Bukit Shafa, menyeru kaumnya kembali kepada Allah yang Maha Esa.
Bagaimana mungkin kita boleh lupa, ketika nabi SAW sedang sujud di sisi Kaabah, lalu kaum musyrikin menumpahkan najis dan kotoran unta di atas belakang tubuh baginda. Baginda tidak bangkit mengangkat kepalanya daripada sujud sehinggalah datangnya Fatimah membuang kotoran tersebut.
Bagaimana boleh kita lupa, nabi SAW ketika pertama kali mengajak penduduk Thaif kepada Islam, baginda dicaci, dimaki dan dilontar dengan batu. Setiap penjuru jalan yang baginda lalui, kanak-kanak, hamba dan kaum wanita menanti sambil melemparkan batu-batu ke arah nabi.
Sehinggalah Malaikat menawarkan tawaran untuk memusnahkan mereka yang menyakiti hati nabi SAW tetapi baginda menolak tawaran itu dengan sangkaan yang baik, kerana yakin akan datang suatu masanya generasi kemudian yang akan menerima dakwah beliau.



No comments:
Post a Comment